Pasukan bola sepak wanita Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan yakin mampu mencapai sasaran mara ke pusingan kedua dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita yang akan memulakan aksi peringkat kumpulan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, petang esok.

Pengurus pasukan, Profesor Madya Dr. Md Salzihan Mohd Salleh, berkata pemainnya sudah melakukan persiapan rapi di bawah kendalian jurulatih, Mohd Afandi Ibrahim, sejak sebulan lalu.

“Kami berada dalam Kumpulan D bersama tuan rumah, UiTM FC dari Perlis, Kota Setar (Kedah) dan Kerian dari Perak. Kesemua pasukan sudah membuat persiapan rapi untuk menyertai kejohanan ini.

“Jika kami mampu mara ke pusingan kedua, ia sudah cukup membanggakan dan saya yakin semua pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan pertama menentang skuad UiTM FC, petang esok,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan jersi pasukan, semalam.

Salzihan juga merakamkan penghargaan kepada Syarikat Gomogi Premium Resources yang sanggup menghulurkan tajaan jersi bagi kegunaan pasukannya menyertai LBR Wanita musim ini.

“Biarpun skuad ini masih baru, kesudian penaja utama, Gomogi, menghulurkan tajaan jersi cukup menggembirakan. Kami berjanji akan mempamerkan aksi terbaik dalam tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kedua. Insya-Allah,” katanya.