William Saliba mempersoalkan peluang yang ditawarkan kepadanya ketika di Arsenal sambil melabel pengurus The Gunners, Mikel Arteta, menilainya berpandukan dua perlawanan setengah sebelum dia dipinjamkan ke Nice.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai Arsenal daripada Saint-Etienne pada Julai 2019 dengan bayaran £27 juta (RM150j) tetapi kekal bersama kelab Ligue 1 berkenaan untuk musim 2019-20.

Dia kembali ke Stadium Emirates dalam pra-musim ini tetapi tersisih dalam senarai skuad Liga Europa selain gagal membuat sebarang penampilan dalam pertandingan lain.

Saliba kemudian membawa diri ke Nice secara pinjaman bulan lalu untuk baki kempen musim ini dan minggu lalu, dia mengakui terluka kerana minit permainan yang terhad bersama Arsenal.

Pertahanan tengah itu, yang dipancing ke utara London oleh Unai Emery, kembali mempersoalkan krebiliti Arteta.

"Banyak yang telah berubah sejak tahun lalu," katanya kepada RMC.

"Ketika saya melihat pengurus berubah, ia juga banyak mempengaruhi saya. Pada tahun ini terdapat banyak perubahan. Arteta menilai saya melalui dua perlawanan setengah.



"Saya mahu dia memberi kesempatan yang lebih banyak kepada saya. Tetapi dia menganggap saya belum bersedia. Saya menunggunya memberikan saya peluang tetapi bola sepak bukan seperti itu.

"Ketika saya mula-mula datang ke Arsenal, mereka kelihatan sangat bagus dalam liga dan saya ingin membuktikan kepada jurulatih bahawa saya sudah bersedia malah berlatih sendirian sebaik melaporkan ke pusat latihan.

"Kini saya gembira, saya mahu mewakili Nice. Menjadi sebahagian daripada perancangan pasukan menawarkan perasaan yang lebih baik untuk saya."