Mohamed Salah dijangka terpsinggir di antara tiga dan empat minggu selepas bahunya terkehel akibat direntap jatuh oleh Sergio Ramos, kata fisioterapi Liverpool, Ruben Pons.

Ramai yang meletakkan harapan kepada prestasi Salah ketika Liverpool beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah tetapi bintang Mesir itu dipaksa keluar selepas hanya 30 minit ketika tewas 3-1 kepada Real Madrid di Kiev, awal pagi Ahad lalu.

Salah dan Ramos bergelut untuk mendapatkan bola, sebelum pemain antarabangsa Sepanyol itu mengunci lengan lawannya untuk dijatuhkan, sekali gus mengakibatkan bahu bintang The Reds itu terkehel.

Dengan penyertaan Piala Dunia Salah menjadi ragu-ragu, Ramos telah mendapat kritikan keras.

Tetapi Pons -- yang mengiringi penyerang Liverpool itu untuk mendapatkan rawatan di Sepanyol -- percaya Salah mempunyai peluang untuk bersama Mesir dalam peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia, dengan perlawanan pertama mereka adalah menentang Uruguay pada 15 Jun.

"Salah tidak memberitahu saya apa-apa tentang Sergio Ramos," kata Pons kepada Partidazo dalam COPE. "Saya tidak fikir dia marah dengannya. Ini adalah tindakan yang tidak disengajakan.

"Salah lebih optimis, ia bukan satu kecederaan biasa dalam bola sepak, mungkin lebih banyak berlaku kepada penjaga gol. Persekutuan Bolasepak Mesir percaya bahawa dalam tiga atau empat minggu ia akan pulih.

"Kami akan menggandakan sesi pada setiap hari dan kami akan cuba mengurangkan tempoh pemulihan," katanya.