Mohamed Salah akan pergi ke Sepanyol untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaan bahu yang dialaminya kelmarin, menurut Persatuan Bolasepak Mesir.

Bintang Liverpool itu menangis selepas setengah jam beraksi apabila direntap jatuh Sergio Ramos ketika pasukannya tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Kiev.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata masalah itu kelihatan "sangat serius" dan walaupun dia tidak sabar menunggu ujian, dia mengakui peluang Salah untuk ke Russia terjejas.

FA Mesir sejak itu cuba menenangkan kebimbangan Salah mungkin terlepas Piala Dunia, dengan mendakwa ujian menunjukkan kecederaan itu tidak seteruk seperti disangka.

Dalam satu kenyataan hari ini, mereka berkata pemain berusia 25 tahun itu akan diiringi kakitangan perubatan Liverpool ke Sepanyol untuk memulakan tempoh pemulihan intensif.

Mesir akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Uruguay pada 15 Jun.