Salah nikmati kejayaan liga Liverpool

Shaiful Shamsudin
Jun 26, 2020 02:45 MYT
Mohamed Salah berterima kasih kepada peminat Liverpool setelah kelab itu meraih gelaran liga pertama sejak 1990.
Skuad dari wilayah Merseyside itu meraikan kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pertama dalam tempoh 30 tahun berikutan seteru rapat, Manchester City, tunduk 1-2 kepada Chelsea awal pagi tadi.
Kedudukan pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu -- hanya tewas sekali dalam liga musim ini -- di puncak tidak boleh digugat lagi walaupun kempen 2019-20 masih berbaki tujuh perlawanan lagi.
Liverpool tewas tipis untuk mengakhiri kemarau itu musim lalu apabila ketinggalan hanya satu mata di belakang City, justeru penggempur kesayangan ramai itu berasa senang dengan kejayaan pasukannya musim ini.
Kata Salah di Twitter: "Ya. Ia berasa sangat bagus. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami yang menyaksikan kami dari seluruh pelosok dunia.
"Anda membuatkan ini sesuatu yang tidak mustahil bagi kami dan saya harap kami dapat menghadiahkan kegembiraan yang anda sememangnya berhak (untuk dinikmati). Kini, mereka akan mempercayai keupayaan kami."
Liverpool, yang menawan Liga Juara-Juara (UCL) pada 2018-19, telah memenangi 28 dari 31 perlawanan EPL musim ini.

Yes. It feels THAT good. I want to thank all our supporters watching us from all corners of the world. You made this possible for us and I hope we can keep bringing you the joy you deserve. ? now they’re gonna believe us ? ? pic.twitter.com/bqkXM1Fjpj

— Mohamed Salah (@MoSalah) June 26, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sebagai sebuah pasukan, hubungan kami sangat akrab. Kami gemar berlatih setiap hari. Sekiranya seseorang itu mengalami permainan buruk, kami akan mengangkat mereka dan kami tetap bersatu padu di atas padang, kami juga tetap bersama-sama di luar padang -- itulah sebabnya mengapa skuad ini begitu istimewa. Saya gembira menjadi sebahagian daripadanya, "kata pertahanan, Andy Robertson, kepada Liverpoolfc.com.
"Kami semua seperti bersaudara dan kami mempunyai sosok seorang bapa dan dia yang memimpin kami ke arah yang tepat.
"Dia dan kakitangannya tiada tolok bandingnya apabila bersikap adil sejak saya ke mari.
"Musim ini mereka memacu kami dengan sangat baik, membuatkan kami sentiasa dahagakan kejayaan dan bermotivasi.
"Kami tidak pernah goyah dalam soal motivasi. Sebagai pemain, kami sering dahagakan kejayaan dan kami ingin memenangi trofi buat kelab ini.
"Kami bertuah dapat menghasilkannya dalam tempoh 12 bulan terakhir ini."
#Liverpool #EPL