Bintang Liverpool, Mohamed Salah, berhak menuntut Anugerah Ballon d'Or, kata rakan sepasukannya, Dejan Lovren.

Musim hebat yang diharungi Salah dirumuskan semalam apabila dia menjaringkan dua gol dan mencipta dua peluang lagi untuk mengetuai kemenangan 5-2 Liverpool ke atas AS Roma dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara.

Pemain antarabangsa Mesir itu menyumbat 43 gol dalam 47 perlawanan dalam musim pertamanya di Anfield.

Lovren berkata persembahan itu bermakna Salah seharusnya menjadi antara pesaing utama untuk Ballon d'Or di samping Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

"Dia adalah seorang bintang, ia kelihatan mudah tetapi sangat sukar," Lovren memberitahu akhbar UK.

"Jika dia terus seperti itu -- saya tidak tahu jika ini adalah masa yang tepat untuk memberi tekanan kepadanya -- saya percaya dia harus dianggap sebagai salah seorang daripada tiga pemain terbaik di dunia pada akhir tahun ini.

"Dia sepatutnya disebut-sebut untuk Ballon d'Or -- apabila orang bercakap mengenai Messi dan Ronaldo, mereka juga perlu bercakap mengenai Salah. Dia layak mendapat pujian tetapi saya fikir dia lebih berhak," katanya.

Lovren percaya gaya permainan yang diterapkan Jurgen Klopp di Liverpool adalah sempurna untuk Salah yang tiba dari Roma.

"Kami membantunya, pengurus banyak membantu menerusi corak permainannya. Dia tidak bermain seperti itu ketika di Basel, Chelsea dan Roma," katanya.

"Mereka mempunyai gaya yang berbeza dan gaya ini sesuai dengannya. Mudah-mudahan dia bebas daripada tercedera."