"Gol berkelas dunia yang dijaringkan oleh pemain berkelas dunia," ulas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, terhadap jaringan Mohamed Salah sewaktu menentang Manchester City semalam.

Gol tersebut merupakan gol kesembilan Salah musim ini dan dia telah membolosi gawang lawan itu tujuh kali berturut-turut.

Tidak dilupakan, dia telah mencecah angka 100 gol buat Liverpool minggu lalu.

Dalam temu bual pasca perlawanan, kapten Liverpool, Jordan Henderson, pantas menghamburkan pujian buat 'Raja Mesir' itu.



" Salah adalah seorang pemain yang menakjubkan.

"Kesemua rekod dan gol yang dicatatkannya untuk kami adalah hasil daripada keputusannya untuk mendedikasikan hidup buat sukan ini.

"Dia sentiasa memastikan agar kehidupannya dijalani dengan gaya yang sihat dan inilah ganjaran yang diperolehnya."

Pujian yang sememangnya layak diberikan, namun satu soalan terus berlegar di minda apabila perkataan 'ganjaran' disebutkan; ganjaran apakah yang Liverpool berikan kepada Salah sebenarnya?

Jika dilihat daripada persembahan Salah sepanjang empat musim bersama Liverpool, adakah terlalu berlebihan jika dikatakan bahawa dia adalah antara pemain terbaik yang pernah menyarung jersi The Reds?

Kemungkinan besar, tidak berlebihan sama sekali.



Namun, hakikatnya ketika ini, dalam masa kurang dari dua tahun sahaja lagi, iaitu bulan Jun 2023, kontrak Salah bakal luput.

Bagaimana agaknya reaksi penyokong jika Salah dibenarkan untuk berpindah secara percuma, meninggalkan kelab begitu sahaja, sama seperti apa yang berlaku kepada Lionel Messi?

Menurut laporan Dominic King dari The Daily Mail, akhbar itu telah mengangkat Salah sebagai pemain terbaik Eropah saat ini.

Selain daripada gol-gol yang dijaringkan, Salah dilihat telah memperbaiki aspek-aspek yang dianggap sebagai titik kelemahannya pada musim-musim terdahulu.

Dia tidak lagi tumbang dengan mudah demi mendapatkan sepakan penalti, dia juga lebih rajin berundur ke belakang untuk membantu rakan sepasukan bertahan.

Tanpa Salah, kemungkinan besar skor akhir perlawanan semalam tidak akan berakhir dengan keputusan seri tetapi satu kemenangan mudah buat City.

Selain daripada sumbangan gol kedua, gol pertama yang dijaringkan oleh Sadio Mane telah terhasil daripada lorongan cantik Salah yang terlebih dahulu menggelecek melepasi barisan pertahanan lawan.

Melihatkan komen-komen yang ditinggalkan peminat bola sepak di rata-rata laman media sosial, cukup ramai yang mengibaratkan persembahan Salah semalam seperti Messi sewaktu zaman kegemilangannya.



Dalam artikel khas yang diterbitkan oleh laman sesawang Sky Sports, bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, menyatakan satu kesimpulan yang cukup ampuh.

"Liverpool baru sahaja menghadiahkan kontrak baru buat empat pemain pada musim ini; Virgil Van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Alisson dan Fabinho, maka status kewangan mereka agak terhad ketika ini.

"Namun, mereka harus sedar bahawa Salah adalah pemain terbaik Liverpool, bukan sahaja buat masa ini, tetapi dia layak untuk dikategorikan sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman, malah sebaris dengan Ian Rush dan Roger Hunt.

"Isu kontrak Salah tidak boleh dibiarkan berlarutan, dia tidak seharusnya dibenarkan untuk disambar oleh mana-mana kelab lain."

Menurut laman sesawang thisisanfield.com, halangan utama pembaharuan kontrak ini adalah tuntutan Salah agar dibayar gaji yang setara dengan Kevin De Bruyne dari Manchester City, iaitu sekitar £385,000 (RM2.2 juta) seminggu.

Satu harga yang cukup tinggi untuk dibayar, namun adakah ia berbaloi?

Untuk Mohamed Salah, ia semestinya.