Mohamed Salah meluangkan masa melihat gambar ketika Liverpool tewas 3-1 di tangan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu untuk dijadikan motivasi sebelum mencipta kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit kedua dalam kemenangan 2-0 Liverpool di Wanda Metropolitano awal pagi semalam dan sebelum itu, dia berada dalam bilik persalinan, mengingatkan akan penderitaan yang dialami di Kiev 12 bulan lalu.

Penggempur Mesir itu beraksi hanya 25 minit dalam aksi final tahun lalu sebelum meninggalkan padang setelah mengalami kecederaan bahu susulan bentesan daripada Sergio Ramos dan dia berkata situasi itu sentiasa berada dalam fikirannya apabila menentang Spurs.

"Saya melihat gambar daripada tahun lalu sebelum perlawanan," katanya.

"Kami kecewa selepas final dan kini kami kembali, memenanginya semula buat kali keenam buat Liverpool. Ia sesuatu yang hebat.

"Saya sangat kecewa sewaktu mengalami kecederaan dan terpaksa keluar sebelum pasukan tewas. Ia menjadi motivasi buat saya untuk menang.

"Saya tidak melihat gambar itu dengan lama. Anda boleh rasakan kemampuan yang ada, jadi hanya lihat gambar itu seketika dan berkata,'ayuh, teruskan.'"

Salah juga menegaskan kepentingan kekalahan Liverpool di Kiev, malah menyifatkannya sebagai takdir buat Liverpool.

Ditanya sama ada dia percaya mereka ditakdirkan untuk bangkit dan menjulang trofi itu tahun ini, dia menjawab: "Memang. Sudah pasti.

"Tugas kami lebih melibatkan mental dan anda harus percaya kepada diri sendiri sebelum perlawanan. Anda boleh lihat semua pemain, kami percaya akan kemampuan di dalam perlawanan.

"Saya rasa ia berlaku dengan sebab, agar kami tewas dan bangkit untuk memenanginya."

Menjelang musim 2019-20, Salah menyasarkan untuk menjulang trofi liga pertama dalam tempoh 30 tahun buat peminat yang percaya The Reds mampu mengatasi Manchester City musim depan.

Kali terakhir Liverpool memenangi liga adalah musim 1989-90 tetapi harapan untuk Jurgen Klopp menamatkan penantian itu semakin membara setelah pengendali dari Jerman itu membawakan kejuaraan pertamanya di Anfield.

Salah menambah: "Kami akan menuju musim depan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Musim ini adalah kempen pertama kami benar-benar mencabar kejuaraan liga. Musim lalu kami hanya mencabar Liga Juara-Juara.

"Purata usia dalam skuad adalah 26 atau 27 tahun, jadi kami masih memiliki pemain muda.

"Ia pengalaman bagus buat kami untuk menjulang trofi dan kami banyak belajar daripada musim lalu," katanya.