Dua penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane, akan membuat perhitungan bagi merebut tempat ke Piala Dunia Qatar selepas negara yang diwakili mereka diundi untuk bertemu dalam playoff pusingan kelayakan zon Afrika.

Salah dan mane, yang kedua-duanya kini sedang bersaing dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), telah menjadi watak penting yang membawa kejayaan Liverpool sepanjang beberapa tahun ini dan diiktiraf sebagai antara penyerang terbaik dunia.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka akan dapat beraksi dalam Piala Dunia hujung tahun ini selepas Mesir (yang diwakili Salah) dan Senegal (yang diwakili Mane) diundi untuk bertemu dalam aksi playoff pusingan kelayakan zon Afrika.

Baki 10 pasukan dari Afrika dalam pusingan kelayakan akan bersaing dalam aksi playoff dengan format timbal balik bagi menentukan lima pasukan terakhir yang akan mewakili benua itu dalam kejohanan kemuncak berkenaan.

Perlawanan lain menyaksikan Algeria bertemu Cameroon, Nigeria lawan Ghana dan Maghribi pula akan membuat perhitungan dengan Congo.

Aksi terakhir mempertemukan Tunisia dan Mali, di mana kesemua perlawanan itu akan berlangsung pada Mac depan.