Fabinho menegaskan bahawa Mohamed Salah masih "amat gembira" di Liverpool di sebalik spekulasi mengenai masa depan penyerang itu.

Salah mencetuskan desas-desus mengenai masa depannya selepas tidak menafikan kemungkinan untuk dia berhijrah ke LaLiga bagi bersama Real Madrid atau Barcelona dalam satu temu bual bersama Diario AS bulan lalu.

Fabinho berkata spekulasi mengenai Salah itu merupakan sesuatu yang normal sambil pemain kebangsaan Brazil itu menambah penggempur Liverpool berkenaan masih gembira di Anfield.

"Pemain yang besar sentiasa dikaitkan dengan khabar angin. Salah bermain untuk Liverpool, antara kelab terbesar di dunia. Saya fikir adalah normal untuk melihat namanya dikaitkan dengan pasukan lain, terutama dalam liga berbeza," katanya kepada ESPN Brasil.

"Apapun, saya melihat dia amat gembira dan selesa dengan prestasinya musim ini. Dia amat menuntut daripada dirinya, dia mahu menjadi yang terbaik, dia mahu membantu pasukan ini dan bekerja keras untuknya.

"Kesnya sentiasa seperti itu dan ia langsung tidak pernah berubah. Dia terus menjaringkan gol seperti yang semua orang biasa lihat. Dalam bilik persalinan, dia sentiasa berbual dengan semua orang dan gemar bergurau.

"Saya tidak lihat apa-apa sedang mengganggunya. Secara keseluruhan, saya tidak mengikuti berita, jadi saya tidak pasti mengenai sebarang khabar angin. Seperti yang saya katakan, pemain dengan kualiti tertinggi akan sentiasa dikaitkan dengan kelab besar," katanya.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, begelut mencari ketekalan musim ini dan kemenangan Manchester United ke atas Burnley awal pagi tadi telah meletakkan skuad The Red Devils itu berkelebihan tiga mata di depan seteru berkenaan.

Tetapi Fabinho berkata skuad kendalian Jurgen Klopp itu, yang akan bertemu United awal pagi Isnin ini, sedang menumpukan kepada diri mereka sendiri.

"Mereka sememangnya sedang yakin dan menikmati momentum yang bagus dalam liga. Mereka memenangi beberapa perlawanan yang tidak dimenangi mereka musim lalu, contohnya seperti ketika menentang Wolves.

"Bagaimanapun, fokus kami bukan hanya untuk Manchester United. Perkara utama adalah kami mencuba untuk bermain bola sepak dan memenangi perlawanan," katanya lagi.