EINTRACHT FRANKFURT 0 ARSENAL 3

Sentuhan Bukayo Saka menghukum Eintracht Frankfurt yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain tatkala Arsenal memulakan kempen Liga Europa dengan kemenangan 3-0 di Commerzbank-Arena, awal pagi tadi.


Pemain berusia 18 tahun itu membuat permulaan keduanya musim ini dengan membuka akaun jaringannya pada minit ke-85 selain membuat bantuan gol kepada Pierre-Emerick Aubameyang, dua minit kemudian.

Perlawanan itu menyaksikan rombakan dalam kesebelasan utama selepas anak buah Unai Emery itu membenarkan Watford bangkit untuk mencatat seri 2-2 dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), Isnin lalu.

Dominik Kohr menerima padah apabila dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-80 susulan kekasarannya terhadap Saka yang menyaksikan Joe Willock terlebih dahulu menggegar jaring pada minit ke-38 dalam kempen awal mereka itu.

Kunjungan ke Frankfurt itu dijangka menjadi ujian paling sukar buat The Gunners dalam Kumpulan F -- yang turut dihuni Standard Liege dan Vitoria SC -- tetapi persembahan mempesonakan itu bukan sahaja memastikan mereka akan kembali ke London dengan mata penuh, malah menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan.