Pengurus Fiorentina, Vincenzo Italiano, memuji wira hatrik, Dusan Vlahovic, dalam kemenangan Serie A 3-0 ke atas Spezia awal pagi tadi.

Vlahovic menjadi salah seorang daripada dua pemain yang dilahirkan sejak 2000 untuk menjaringkan dua hatrik dalam lima liga utama Eropah termasuk Erling Haaland dari Borussia Dortmund untuk membantu Fiorentina melepasi cabaran Spezia.

Pemain antarabangsa Serbia itu, yang bakal meninggalkan Florence selepas memilih untuk tidak menandatangani perjanjian baharu, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-44 untuk membuka jaringannya.

Pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi meledak pada minit ke-62 dan ke-74 untuk merakamkan 25 gol sepanjang 2021 –- salah seorang daripada dua pemain yang mencapai sekurang-kurangnya bilangan berkenaan dalam tempoh setahun buat Fiorentina untuk berdiri sebaris dengan Kurt Roland Hamrin (27 pada 1960 dan 25 gol pada 1959).

"Bagi penyerang, gol adalah seperti bahan api untuk enjin," kata Italiano kepada DAZN selepas Vlahovic meningkatkan jumlah jaringannya musim ini kepada lapan gol selepas 11 perlawanan.

“Apabila anda mencipta gerakan dan tidak menjaringkan gol, anda akan kehilangan sedikit keyakinan diri.

"Apabila dia menyumbat tiga gol, saya tidak sabar-sabar lagi untuk berjumpa dengannya esok bagi persediaan perlawanan seterusnya. Apabila ketiga-tiga penggempur kami beraksi dengan baik, pasukan akan mendapat manfaat daripadanya."

Vlahovic -– dikaitkan dengan Manchester City, Atletico Madrid, Inter, Juventus, Arsenal dan Tottenham –- telah menggegar gawang lawan sebanyak 25 kali dalam 35 perlawanan liga tahun ini, hanya Haaland (26) dan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, (36) telah menjaringkan lebih banyak gol berbandingnya dalam lima pentas utama Eropah tahun ini.