Paul Pogba mampu menggalas harapan besar dan menyinar bersama Perancis dalam kempen Piala Dunia Russia, kata Bacary Sagna.

Selepas mengalami musim kedua yang kurang meyakinkan di Manchester United, pemain tengah itu dianggap sebagai pemain penting dalam skuad bimbingan Didier Deschamps.

Dia dikecewakan dalam Kejohanan Euro 2016 di tempat sendiri setelah ditundukkan Portugal dalam perlawanan akhir sambil Perancis mengharapkan nasib lebih baik ketika di Russia.

Sagna, yang memainkan peranan ketika berdepan Portugal di Paris dua tahun lalu, percaya Pogba -- persembahannya bersama kelab dan negara sering menjadi perhatian -- memiliki 'perwatakan besar' yang diperlukan untuk menyerlah dalam kempen itu.

"Ramai mengharapkannya menjadi penentu dalam setiap permainan tetapi dia adalah manusia biasa, dia mempunyai sifatnya sendiri," kata Sagna kepada Omnisport dalam pelancaran alat ranking media sosial, Primetag.

"Dia sangat berbakat, berbakat secara semulajadi tetapi dia adalah pemain tengah. Sebagai pemain tengah, anda perlu bertahan terlebih dahulu dan itulah yang dia lakukan, dia memberi tumpuan kepada pasukan.

"Dia memiliki watak yang besar dan dia benar-benar yakin dengan kemampuannya dan saya tahu Paul akan menyinar semasa Piala Dunia," ujarnya.

Berusia 25 tahun, Pogba telah membuat 54 penampilan antarabangsa di samping dia juga berpengalaman bermain dalam final ketika mewakili Juventus dan United.

Sagna berasakan kehadiran pemain itu boleh memberi kesan positif kepada skuad kendalian Deschamps itu yang turut dibarisi pemain muda, termasuk penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

"Dia boleh menghadapi tekanan dan dia mungkin akan dapat meredakan tekanan pemain lain kerana sesetengah pemain masih mentah, mereka baru berusia 19 atau 20 tahun," ujar bekas bek kanan Arsenal dan Manchester City itu.

"Dia kerap terbabit dalam perlawanan penting di Juventus, Manchester United dan pasukan kebangsaan. Ya, dia boleh menguruskannya dengan mudah," tambahnya.

Pogba dan Perancis akan membuka kempen Kumpulan C menentang Australia di Arena Kazan, Sabtu ini, diikuti perlawanan menentang Peru dan Denmark.