Bekas ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, kembali ke pangkuan Harimau Selatan selepas dua musim berkelana ke Melaka United.

Safiq mencari angin baru selepas enam musim di JDT yang menyaksikannya menghimpunkan lima kejuaraan Liga Super, Piala AFC (2014), Piala FA (2016) dan Piala Malaysia (2017).

Ketika pemain tengah itu meninggalkan pasukan, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Ismail Sultan Ibrahim, menyifatkannya sebagai pemain terbaik yang pernah dimiliki dan pintu sentiasa terbuka buat pemenang pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF tersebut.





Bagaimanapun, JDT belum mengumumkan peranan pemain berusia 34 tahun itu tetapi dia dijangka akan menyertai pasukan sebagai pemain terakhir yang didaftarkan selepas muncul dalam satu rakaman pendek di Facebook JOHOR Southern Tigers, bersama dua pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Matthew Davies, sebentar tadi.

Semalam, JDT turut mengumumkan telah memeterai kontrak bersama bekas tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh.