Penyerang berpengalaman negara, Safee Sali, sedar perlu bersaing dengan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Amri Yahyah dalam perebutan tempat kesebelasan utama pasukan untuk menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila, 22 Mac ini.

Dari 2008 hingga 2014, Safee sentiasa menjadi pilihan utama skuad negara untuk mengetuai jentera serangan pasukan, bagaimanapun kini dia mengakui perlu menggandakan usaha untuk bersaing bersama Hazwan dan Amri.

"Bagi saya, semua berdasarkan prestasi yang baik dalam liga dan Hazwan juga bermain dalam saingan Piala AFC," katanya. "Saya tidak kisah siapa yang diturunkan, janji dapat memberikan persembahan terbaik untuk pasukan negara dan cuba untuk mencipta kemenangan."

Safee menyerahkan kepada jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, untuk menentukan kesebelasan utama pasukan.

Sementara itu, Amri meluahkan pandangan sama dan mengakui tiada masalah jika berpasangan dengan Safee mahupun Hazwan kerana keutamaannya adalah skuad negara meraih keputusan positif berdepan Filipina nanti.

"Tiada masalah siapa yang akan bermain. Walaupun saya berada di bangku simpanan, tiada masalah, demi untuk pasukan kebangsaan. Bukan untuk individu. Saya harap siapa yang diturunkan dapat beraksi terbaik untuk skuad negara," kata Amri.

Perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A menentang Filipina menjadi cabaran seterusnya buat skuad kebangsaan pada 22 Mac, jam 7.30 malam.