"Jangan putus asa." Demikian nasihat bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali, kepada Shahrel Fikri Md Fauzi dengan cabaran yang akan dilalui penyerang itu sepanjang bersama Nakhon Ratchasima FC.

Shahrel mencetuskan sensasi apabila muncul anak watan pertama menyertai kelab liga divisyen satu Thailand.

Berhijrah dari PKNP FC secara pinjaman selama lima bulan, dia dijangka berdepan pelbagai cabaran bersama pasukan barunya itu.

Hakikat itu tidak dinafikan Safee yang pernah berkhidmat dengan kelab Pelita Jaya di Indonesia selama beberapa tahun.

"Banyak yang perlu dilakukan Shahrel Fikri agar dapat cepat menyesuaikan diri daripada segi pemakanan, tempat tinggal di samping suasana latihan, " kata penyerang PKNS itu.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, memuji keberanian Shahrel untuk mencuba nasib dalam Liga Thailand walaupun pendapatannya tidak setimpal dengan status selaku pemain import.

"Ini langkah berani oleh Shahrel Fikri kerana kita tahu ramai pemain tempatan menerima tawaran di luar tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran," katanya.