Walaupun sekadar gol penalti, ia tetap bermakna buat penyerang skuad negara, Safawi Rasid, yang berasa lega dengan permulaan sempurnanya bersama skuad Harimau Malaya tahun ini.

Jaringan itu membantu kemenangan 2-0 skuad negara ke atas Nepal dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

"Bagi saya, jaringan itu terhasil dengan kerjasama sepasukan dan daripada Akhyar (Rashid) juga yang mendapatkan sepakan penalti itu.

"Saya berasakan kejayaan malam ini akan meningkatkan ranking dan imej skuad negara," katanya.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan pasukannya mejelang perlawanan 'play-off' kelayakan Piala Dunia Qatar 2020, Jumaat ini dan Selasa depan, Safawi berkata: "Kemenangan malam ini sudah pasti akan meningkatkan keyakinan pasukan.

"Apa yang penting, kami perlu memperbaiki setiap kesilapan kecil yang dilakukan.

"Kami juga perlu menajamkan penyudah di depan gol.

"Jika saya terus diberikan peluang, saya akan mencuba yang terbaik untuk skuad negara," tambahnya.