Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) sedia menerima apa sahaja keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung saingan Liga Super yang kini dihentikan berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata apa yang paling penting bukan sahaja keselamatan pemain dan pegawai tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Kami akan akur dengan sebarang keputusan, terutama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), FAM dan MFL sama ada saingan ini (Liga Super) diteruskan atau ditunda ke tahun depan.

"Saingan musim ini masih ada baki lebih setengah tahun lagi untuk dihabiskan tetapi di peringkat SAFA, kami akur apapun keputusan nanti.

"Kalau kita tidak dapat bermain tahun ini, ia masih boleh ditunda ke tahun depan," katanya.

Peter berkata pihak SAFA setakat ini tiada masalah daripada segi menjaga kebajikan pemain walaupun mereka kini tidak menjalani latihan seperti biasa.

"Walaupun tidak berlatih seperti biasa, mereka masih menjalani latihan bersama secara 'live streaming' di rumah masing-masing dengan dikendalikan ketua jurulatih (Kurniawan Dwi Yulianto).

"Latihan seperti ini akan diteruskan sehinggalah tempoh PKP tamat tetapi saya lihat masalah ini mungkin akan berpanjangan dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuklah sekiranya liga musim ini dibatalkan," katanya.

Setakat ini, belum ada keputusan jelas daripada MFL berhubung perjalanan saingan Liga Malaysia musim ini manakala FAM pula hanya mengambil pendekatan menunggu keputusan penganjur.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, turut menegaskan pihaknya sedia berkompromi sekiranya FAM memilih untuk membuat keputusan luar biasa.

Ia merujuk kepada kemungkinan untuk badan induk tempatan itu meneruskan saingan liga semata-mata manakala dua lagi kejohanan lain, iaitu Piala FA dan Piala Malaysia, dibatalkan.