Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bakal dipimpin presiden baru pada 11 Ogos depan apabila persatuan itu dijadualkan mengadakan kongres tahunannya.

Antara agenda utama kongres itu nanti ialah mengisi empat kekosongan jawatan, termasuk presiden, ekoran peletakan jawatan penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Musa Aman, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.

Tiga lagi kekosongan adalah dua jawatan timbalan presiden yang sebelum ini disandang Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Datuk Lawrence Gimbang sementara kerusi naib presiden sebelum ini disandang Datuk Harun Ismail.

Lawrence dan Harun meletak jawatan manakala Tawfiq meninggal dunia pada Mac lalu.

Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil, berkata penetapan tarikh itu dalam pada Kongres Luar Biasa (EGM) SAFA yang dipengerusikan pemangku Presiden, Datuk Yusof Kassim, di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Katanya, EGM itu telah meluluskan Pindaan Artikel 27 Perlembagaan SAFA bagi membolehkan SAFA mengadakan kongres biasa dalam tempoh 14 hari selepas notis berbanding 90 hari sebelum ini.

EGM itu merupakan yang kedua selepas yang pertama tidak diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan ekoran tidak cukup ahli gabungan.

"Kehadiran pada Sabtu cukup korum di mana ia dihadiri 35 perwakilan daripada 22 anggota gabungan atau SAFA Daerah. Sebagai makluman, kita ada 26 gabungan SAFA Daerah," kata Alijus.