Pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies, menganggap Saddil Ramdani mampu membawa duka buat pasukannya sekiranya pemain itu hanya dipandang mudah barisan negara menjelang aksi pembukaan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, Khamis ini.

Mengenali Saddil, Davies mengakui pemain kelahiran Indonesia itu memiliki kelebihan tersendiri walaupun baru berusia 20 tahun.

Melihat situasi rakan sepasukannya di Pahang itu yang perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, Davies sendiri tidak pasti apa yang akan direncanakan pengendali Indonesia, Simon McMenemy.

Namun, jika Saddil berada dalam perancangan pengendali kelahiran Scotland itu, Indonesia mampu mencipta bahaya buat Harimau Malaya.

"Dia masih muda, memiliki sentuhan pertama yang sangat baik serta bagus daripada segi teknikal. Jika dia beraksi, ia pasti menambah kekuatan lawan," katanya.

Justeru, waspada adalah kenyataan terbaik untuk Harimau Malaya selain tidak mengambil mudah kelibat dua lagi pemain Indonesia, iaitu Andik Vermansah dan Evan Dimas yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Tegas Davies, kemenangan ke atas Indonesia amat penting untuk memastikan langkah positif mereka dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Sudah pasti keputusan baik dalam aksi berdepan Indonesia memainkan peranan memandangkan ia perlawanan pertama. Ia bakal menjadi aksi menarik dan melibatkan tiga mata penting buat kami."