Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery, menegaskan bahawa kesabaran adalah kunci kepada kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Ludogorets dalam aksi Liga Juara-Juara.

Dengan Blaise Matuidi menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Natanael sebelum rehat, Edinson Cavani pula meledak dua gol pada separuh masa kedua, memastikan PSG berjaya mengutip tiga mata penuh dalam aksi di Stadium Nasional Vasil Levski, malam tadi.

Dua jaringan Cavani dalam separuh masa kedua hadir selepas sepakan penalti yang lemah daripada pemain Ludogorets, Cosmin Moti, berjaya diselamatkan oleh Alphonse Areola.

Emery, yang menerima tekanan daripada penyokong PSG ekoran prestasi kurang memberangsangkan selepas tewas 2-0 kepada Toulouse, Jumaat lalu, teruja dengan kebangkitan pasukannya selepas ketinggalan pada awal perlawanan.

"Pasukan ini telah beraksi dengan cukup baik," kata bekas jurulatih Sevilla itu kepada Canal +. "Apa yang penting ialah apabila pasukan lawan menjaringkan gol, kami terus bermain dengan keyakinan dan ketenangan, kemudian, kami sedar kami perlu bersabar dan menjaringkan gol. Saya sangat gembira.

"Mereka semua merupakan pemain yang baik. Hari ini (malam tadi), saya telah meletakkan tiga [di bahagian tengah] yang bermain dengan cemerlang. Tetapi jika saya meletakkan pemain lain di tempat mereka, pemain-pemain tersebut juga pasti akan beraksi dengan cemerlang.

"Apabila anda meraih kemenangan, pasukan itu sedang menunjukkan peningkatan, tetapi apabila anda tewas, pasukan tersebut tidak mempunyai peningkatan.

"Tetapi pasukan kekal tenang dan itu perkara yang paling penting. kami mempunyai peluang untuk menjaringkan tiga gol dan mungkin lebih."