Sabah kini dalam perancangan untuk merombak pemain import yang ada dalam pasukan ketika ini.

Pengurusnya, Datuk Juil Nuatim, berkata ia sebagai langkah memantapkan lagi pasukan selain mengimbangi kekuatan pasukan lain yang turut memiliki pemain import.

"Bagaimanapun, ia hanya akan dapat dilakukan bulan depan apabila jendela perpindahan pemain dibuka.

"Kami juga akan menyerahkan kepada pihak pengurusan atasan berhubung perkara itu kerana untuk melepaskan serta mengambil pemain import memerlukan bajet yang besar," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, dua pemain import dari Perancis, iaitu Jonathan Behe dan Sofiane Choubani, diketepikan pada perlawanan bertemu Kuantan FA, Jumaat lalu dan ia sekali gus menguatkan lagi desas-desus mereka bakal digantikan.

Bagaimanapun, tindakan pengendali Sang Badak, Jelius Ating, yang tidak menyenaraikan dua pemain itu berbaloi apabila mereka berjaya mencatat kemenangan pertama di Stadium Likas, musim ini.

Kemenangan itu juga menamatkan rekod tanpa menang pasukan itu dalam enam perlawanan berturut-turut untuk mengeluarkan Sabah daripada zon penyingkiran.

Juil berkata usaha memantapkan semula pasukan yang sedang bergelut keluar daripada zon penyingkiran adalah misi utama mereka selepas diserapkan dalam skuad senior.

"Namun, apabila kami lakukan perubahan seperti tidak menyenaraikan dua pemain import dalam perlawanan Jumaat lalu, ada pihak yang melemparkan kritikan dan kecaman dengan pelbagai cerita bukan-bukan menerusi media sosial.

"Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah apa juga keputusan yang kami lakukan adalah demi kebaikan dan merupakan usaha untuk memantapkan pasukan. Saya gembira kerana kami menang dalam perlawanan itu dan keputusan mengetepikan dua pemain import itu adalah tepat," katanya.

Behe dan Choubani tidak disenaraikan untuk perlawanan itu kerana gagal memberi aksi diharapkan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Dalam perlawanan itu, Sabah ketinggalan 0-1 seawal minit kedua hasil tandukan Ljubo Baranin, namun kemudian bangkit untuk memenangi perlawanan berkenaan hasil jaringan Rahman Shah Marajeh pada minit ke-29 dan Maxsius Musa pada minit ke-60.

"Kemenangan ini adalah kerana usaha dan kesungguhan pemain yang telah diberikan kepercayaan. Apabila Jelius memutuskan senarai pemain, tumpuan hanyalah kepada pemain yang tersenarai dan kita tidak perlulah memikirkan pemain yang tiada dalam senarai.

"Sebagai ketua jurulatih, Jelius lebih tahu siapa pemain yang dia perlukan untuk menghadapi satu-satu perlawanan dan kami perlu beri sokongan dan kepercayaan kepadanya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan di tempat lawan Jumaat ini.

Keputusan perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini, yang juga tugasan pertama Jelius selaku ketua jurulatih , berpihak kepada Negeri Sembilan 1-0.

Selepas itu, Sabah akan manamatkan jadual perlawanan pusingan pertama liga menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Likas pada 25 April.

Kemenangan pada Jumaat lalu menyaksikan Sabah keluar dari zon penyingkiran ke tangga ke-10 dengan tujuh mata iaitu satu dan dua mata di atas MISC-MIFA serta Perlis di zon penyingkiran.