SABAH 1 UKM 3

Sabah terus kempunan mencatat kemenangan apabila tewas 1-3 kepada UKM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Jelius Ating itu gagal mencatat kemenangan untuk tujuh perlawanan berturut-turut dalam liga setakat ini.

Sabah dikejutkan seawal 30 saat permainan selepas Wan Mohd Faiz Wan Sulaiman melakukan penyudah baik hasil hantaran ketua pasukan, Asnan Ahmad, bagi menjadikan kedudukan UKM FC mendahului 1-0.

Pada minit ke-14, Sabah menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Hector Omar Ramos selepas mendapat hantaran daripada Maxsius Musa bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-34, pemain import UKM FC, Michael Chukwubunna Ijezie sekali lagi menggamamkan penyokong tuan rumah apabila tandukannya terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Pada minit terakhir separuh masa pertama, Sabah berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun percubaan Ummareng Bachok berjaya diselamatkan penjaga gol UKM FC, Muhamad Nur Haziq Mohd Aris.

Bermula babak kedua, Sabah lebih menguasai perlawanan dan melakukan banyak serangan, namun gagal diterjemah kepada jaringan.

Sebaliknya, keghairahan tuan rumah memburu jaringan dihukum UKM FC apabila berjaya memperoleh gol ketiga dalam masa kecederaan menerusi rembatan Sein Nam dan kedudukan 3-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.