Sang Badak mahu mencipta lebih banyak kemenangan apabila saingan Liga Perdana bersambung malam esok, bermula dengan misi menumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata Sabah perlu mengutip lebih banyak mata bagi mengelak terjatuh ke zon penyingkiran selain cuba memperbaiki kedudukan.

"Kami sebenarnya dalam proses untuk membentuk pasukan bagi menghadapi musim depan, namun pada masa sama kami perlu mencipta lebih banyak kemenangan bagi mengelak tersingkir dari Liga Perdana selain cuba memperbaiki kedudukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata beliau akan menurunkan kesebelasan terbaiknya malam esok, termasuk empat pemain import yang akan beraksi bersama buat pertama kali dalam saingan liga.

"Sebelum ini, saya telah menguji kesemua pemain import dalam aksi persahabatan bertemu Sarawak dan ia sudah mula menampakkan hasil apabila kami memenangi dua perlawanan itu.

"Keserasian mereka dengan pemain tempatan juga mula meningkat dan saya harap ia sekali lagi akan ditunjukkan dalam perlawanan malam esok," katanya.

Sabah sebelum ini mengikat dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, dengan dua pemain itu membuat penampilan pertama mereka bersama pasukan dalam aksi liga bertemu Kuantan FA pada 24 Mei lalu.

Gil Hoon dan Jaenyong dibawa masuk menggantikan dua import dari Perancis, Jonathan Behe dan Sofiane Choubani, yang gagal mencapai prestasi diharapkan oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Pasukan yang terkenal dengan jolokan Sabah Rhinos itu kemudian membawa masuk dua lagi pemain, iaitu penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic dan pertahanan Zambia, Francis Kasonde.

Dua pemain itu diikat selepas pemain tengah dari Jepun, Masaya Jitzono, meminta untuk dilepaskan manakala pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, diketepikan kerana mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, beliau berkata walaupun menurunkan kesebelasan terbaiknya, beliau tetap tidak akan meminggirkan pemain di bangku simpanan.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kesebelasan utama. Bagi saya, setiap pemain memiliki peluang dan saya harap kesemua mereka akan bersungguh-sungguh untuk merebut tempat (dalam kesebelasan utama)," katanya.