Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dijangka membuat tindakan drastik dengan mengetepikan Adlane Messelem dan Steve Vilmiaire sebagai ketua jurulatih serta pengurus pasukan Sang Badak.

Ia susulan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan liga setakat ini apabila menduduki tangga kedua tercorot liga selepas lapan perlawanan.

Sumber berkata bekas pemain Sabah yang juga ketua jurulatih skuad Piala Belia negeri berkenaan, Jelius Ating, bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengendali Sang Badak.

Jelius yang digelar 'orang besi' ketika masih bermain dengan pasukan Sabah dulu menerima sijil kejurulatihan kelas A, baru-baru ini.

Sumber turut berkata pengendali berusia 46 tahun itu bakal mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Sabah secara rasmi pada minggu depan.

Sementara itu, pengurus pasukan yang juga berasal dari Perancis, Adlane Messelem, turut dijangka disingkirkan daripada pasukan.

Beliau dipercayai akan diganti dengan Yassin Aman yang juga bersama-sama dengan Jelius di dalam skuad Piala Piala Belia Sabah sebagai pengurus pasukan.

Selepas lapan perlawanan, Sabah hanya mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan.