UKM 3 SABAH 2

UKM meraih tiga mata selepas menundukkan Sabah 3-2 dalam Liga Perdana di Stadium Selayang, hari ini.


UKM, yang turun sebagai pasukan bukan pilihan di tangga tercorot liga, tiada masalah untuk menghadapi Sabah.

Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang untuk masing-masing mencipta peluang mengasak ke kubu lawan.

Namun, percubaan daripada tuan rumah terlebih dahulu membuahkan hasil menerusi jaringan pemain import, Nam Se In, pada minit ke-28.

Selepas rehat, Sabah yang kali pertama beraksi pada waktu petang setakat ini dilihat agak bergelut untuk menyesuaikan diri, sekali gus memberi bonus kepada lawan untuk terus menambah duka mereka sehingga Nam Se menemui gol kedua pada minit ke-62.

Skuad pelawat kendalian Jelius Ating itu kian tertekan apabila Atuheire Kipson meledak gol ketiga untuk UKM pada minit ke-78.

Selang tiga minit, Sabah akhirnya berjaya meraih gol sulung menerusi Hector Omar Ramos sebelum Justin Samaan merapatkan jurang kepada 3-2 pada minit ke-88.

Kebangkitan Sabah hanya terhenti di situ, dengan mereka kesuntukan masa untuk mengejar, sekali gus menamatkan kedudukan yang berpihak kepada UKM.