Bekas tonggak skuad Harimau Muda, D. Saarvindran, menjadi rekrut terbaru Terengganu FC (TFC) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020, hujung Februari depan.

Pemain berusia 27 tahun itu yang dibebaskan juara Piala Cabaran, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, pada awalnya menjalani sesi pemilihan bersama TFC sejak dua minggu lalu.

Kelibatnya di bahagian sayap berjaya memikat pengendali, Mohd Nafuzi Zain, yang gagal mendapatkan bekas pemain Perak, Nor Hakim Hassan, di posisi berkenaan.

"Kami sudah meneliti prestasi Saarvindran dalam latihan dan aksi pemanas badan. Kemasukannya merupakan tambahan yang baik kepada TFC.

"Saya harap dia dapat mempamerkan prestasi cemerlang sebagaimana bersama bekas pasukannya sebelum ini," jelas Nafuzi.

Turut pernah beraksi bersama Pahang, Saarvindran merupakan pemain ketujuh dibawa masuk selepas Nasir Basharuddin, Arif Fadzillah Abu Bakar dan Mohd Faiz Nasir.

Turut menyertai TFC adalah pemain Singapura, Faris Ramli, Dominique Da Sylva, serta bek tengah, Babacar Diallo, untuk melengkapkan kuota import.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)