RUSSIA 1 TURKI 1

Russia bakal membuka kempen Piala Dunia dengan tujuh perlawanan tanpa kemenangan selepas seri 1-1 dengan Turki, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu, yang bergelut sejak beberapa bulan lalu dan kini perlu membuat persiapan bagi menghadapi aksi pembukaan berdepan Arab Saudi pada 14 Jun ini, sekali lagi dinafikan kemenangan di Moscow.

Aleksandr Samedov membuka jaringan pada minit ke-35 tetapi Russia gagal menggunakan kelebihan sebelum pemain gantian, Yunus Malli, menyamakan kedudukan dalam babak kedua.

Russia berusaha untuk mendapatkan kemenangan pada penghujung permainan, dengan Fedor Smolov melepaskan hantaran silang ke dalam kotak penalti tetapi gagal disempurnakan penyerang, Alan Dzagoev.