Yuri Zhirkov akan meneruskan sesi pemulihan terhadap kecederaan betis dalam usaha untuk kembali beraksi dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia berdepan Croatia.

Pertahanan Zenit itu digantikan pada separuh masa ketika berdepan Sepanyol, Ahad lalu, yang menyaksikan pasukan tuan rumah memenangi perlawanan menerusi penentuan penalti dan mara ke suku akhir.

Selepas menjalani ujian perubatan, Zhirkov mengalami bengkak pada bahagian otot betis dan kini dia perlu mengejar masa untuk pulih sepenuhnya dan beraksi Sabtu ini.

"Dia akan terus menjalani proses pemulihan supaya dapat diturunkan berdepan Croatia," kata satu kenyataan Persekutuan Bolasepak Russia melalui Twitter.

"Buat masa ini, kami tidak boleh mendedahkan masa yang diperlukan untuk Zhirkov pulih sepenuhnya."

Vladimir Granat menggantikan tempatnya di posisi bek sayap berdepan Sepanyol dan mungkin terpaksa meneruskan peranan itu dalam pertembungan lapan pasukan terakhir di Sochi.