Andy Robertson menandatangani kontrak jangka panjang baru dengan Liverpool, demikian umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain antarabangsa Scotland itu yang telah mengharungi karier empat tahun di Anfield dilaporkan bersetuju melanjutkan perjanjian baru hingga 2026.

Robertson menyertai rakan sepasukan di bahagian pertahanan, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk, serta penjaga gol, Alisson, dan pemain tengah, Fabinho, untuk membuktikan komitmen masa depan masing-masing kepada The Reds.

"Jelas sekali sebaik rundingan dimulakan, masa depan saya di sini sudah termaktub, saya rasa bukan lagi satu rahsia bahawa saya gembira di kelab ini," katanya kepada laman sesawang kelab terbabit.

"Saya mahu kekal di kelab ini selama mungkin dan untuk melanjutkan perjalanan karier saya, ini adalah detik yang menggembirakan buat saya, untuk keluarga saya.

"Kami menetap di sini, kami menyukai segala-galanya mengenai kelab bola sepak ini dan saya gembira perjalanan ini berterusan."






Bekas pemain Hull City yang muncul antara pemain gantian ketika bertemu Burnley minggu lalu itu kembali cergas bagi menghadapi Chelsea, tengah malam minggu ini di sebalik Kostas Tsimikas mempamerkan persembahan memberangsangkan dalam dua perlawanan awal.

"Saya berlatih penuh pada Jumaat lalu, sehari sebelum pertembungan dengan Burnley, saya rasa agak cepat daripada jadual asal tapi saya rasa pakar fisioterapi enggan melayani saya lagi," selorohnya.