Philippe Coutinho berada di tahap yang sama dengan rakan sepasukan Brazil, Neymar, kata kapten Costa Rica, Bryan Ruiz.

Neymar, yang merupakan daya penarik Brazil dalam kempan Piala Dunia, menjaringkan gol dalam kemenangan dramatik 2-0 ketika menentang Los Ticos dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia, malam tadi.

Begitupun, seperti ketika Brazil seri 1-1 dengan Switzerland, Coutinho terlebih dahulu memecah kebuntuan perlawanan dan mencetuskan inspirasi menjana pergerakan Selecao.

"Mereka mempunyai kualiti yang hebat, kedua-duanya," kata Ruiz.

"Coutinho dan Neymar, ketika mereka berdua mengharungi permainan yang baik, mereka akan menjadi perbezaan besar buat Brazil.

"Mereka mempunyai kualiti yang sama," katanya.

Hasrat Costa Rica untuk mengulangi kecemerlangan edisi 2014 yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir sudah tertutup susulan dua kekalahan awal.

Lantaran itu, Ruiz berasakan Costa Rica mungkin telah ditewaskan oleh pencabar utama di St Petersburg.

"Brazil memiliki kualiti, mereka mempunyai pemain berpengalaman," katanya.

"Bahagian terpenting bagi mereka adalah untuk layak dan saya fikir mereka akan melakukannya.

"Dalam pusingan 16, perkara-perkara paling penting adalah kualiti dan pengalaman. Saya fikir Brazil mempunyainya."

Pertahanan lawan yang liat memaksa Brazil untuk menunggu sehingga minit ke-91 sebelum gol Coutinho mencetuskan kejayaan, begitupun Costa Rica menghasilkan beberapa peluang -- secara tidak langsung membuatkan Ruiz tertanya-tanya.

"Dalam perlawanan seperti ini, anda tidak akan mempunyai banyak peluang -- anda mungkin mempunyai dua atau tiga peluang, sayang sekali kami tidak menjaringkan gol," tambahnya.

"Saya fikir kami telah berbuat yang terbaik. Kami sedar kualiti yang dimiliki pemain Brazil, terutama di sebelah kiri dengan kehadiran Neymar dan Coutinho.

"Kami menutup ruang mereka dengan baik. Di sebelah kanan kami mengekang Willian dengan baik sehingga mendorong dia ditukarkan.

"Mereka membawa masuk Douglas Costa dan saya juga fikir bahawa kami melakukan tugas yang baik terhadapnya. Mereka merupakan pemain yang sangat bagus tetapi kami telah melakukan tugas cemerlang."