Juara bertahan, Gua Musang, akan turun dengan misi memburu kemenangan pertama apabila melayan kunjungan Setiu Tiger dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) musim 2017-2018 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Ketua jurulatih Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid, berkata selaku juara bertahan pasukannya akan cuba mempamerkan aksi terbaik bagi mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Jelasnya, Gua Musang musim ini masih mengekalkan sebahagian besar muka lama dan hanya membawa masuk tujuh pemain baru bawah 21 tahun untuk mengimbangi kekuatan pasukan.

“Hakikatnya, mempertahankan kejuaraan memang lebih sukar berbanding memburu kejuaraan tetapi inilah fakta yang perlu diterima setelah pasukan ini menjadi juara pada musim lalu.

"Perlawanan pertama selalunya sukar kerana pemain masih cuba menyesuaikan diri dengan permainan.

“Jadi, misi pertama kami adalah hendak menang malam esok walaupun beberapa tonggak utama, termasuk kapten, (Nirzamri Jusoh), dan Mohd Erham (Ibrahim) mengalami kecederaan,” katanya.

Untuk rekod, Gua Musang muncul juara edisi kedua musim 2016-17 dengan mengecewakan Serian dari Sarawak menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah menang 2-1 dalam perlawanan akhir kedua di Kuching.

Perlawanan pertama di Kota Bharu menyaksikan Gua Musang tewas 0-1.