Ronald de Boer menyifatkan bekas pengendali Ajax, Peter Bosz, yang berhijrah ke Jerman bagi mengambil alih tugas pengurus Borussia Dortmund telah menerima satu tawaran
yang tidak boleh dilepaskan.


De Boer telah beraksi untuk Ajax sebagai pemain selama dua musim, memenangi lima gelaran Eredivisie dan satu Liga Juara-Juara (UCL) pada 1995, tetapi erti kelab
tersebut tidak mengaburi pandangannya dengan tawaran yang diberikan oleh gergasi Bundesliga itu.

Bosz terpaksa melalui musim yang amat mengecewakan di Amsterdam Arena selepas pasukannya menamatkan saingan di tempat kedua dan tewas dalam final Liga Europa (UEL) kepada
Manchester United.

Bagaimanapun, De Boer percaya rakan senegaranya telah membuat satu impak yang besar, malah memahami keputusannya untuk berhijrah tanpa sebarang kejuaraan ke Dortmund.

"Ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan apabila melihat pengakhiran Ajax pada musim lepas," kata De Boer.

"Ya, Bosz meninggalkan kelab tanpa sebarang kejuaraan tetapi beliau telah memberikan satu impak kepada dunia bola sepak.

"Tawaran yang diterimanya sukar untuk ditolak dan ia merupakan satu peluang untuk beliau memperkembangkan lagi pengalamannya.

"Dortmund merupakan salah satu kelab gergasi di Jerman, malah di Eropah. Mereka memiliki potensi dan pemain-pemain yang berkualiti. Ia akan menjadi satu cabaran buat Bosz dan saya berharap beliau akan melakukan tugas yang baik."

Dortmund mengakhiri saingan musim lalu di tangga ketiga di bawah kendalian Thomas Tuchel, yang meninggalkan pasukan dengan kejuaraan DFB-Pokal.