SABAH 1 JDT II 2

Hasrat Sabah untuk memulakan kempen Liga Perdana dengan nota positif tidak kesampaian apabila kecundang 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Bekas penyerang pasukan itu, Rozaimi Abd Rahman, muncul wira JDT II apabila meledak gol kemenangan buat pasukannya menerusi satu sepakan percuma cantik pada minit ke-83.

Pemain import Sabah, Luka Milunovic, terlebih dulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pertama Sabah pada minit ke-13.

Gol itu berpunca hasil kesilapan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli, yang terlepas bola daripada kakinya sebelum cuba diasak oleh Rodoljub Paunovic dan bola kemudian menuju ke arah Milunovic yang dengan mudah melakukan penyudah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pasukan pelawat kemudian memiliki peluang terbaik mereka pada minit ke-28, namun sepakan percuma pemain import, Lucas Elias On Tiverton, tersasar dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

JDT II hampir menyamakan kedudukan sebaik memulakan babak kedua menerusi gerakan menarik Lucas yang mengelecek penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, tetapi percubaannya dikeluarkan Dendy Lowa sebelum bola sempat melintasi garisan gol.

Pada minit ke-58, Sabah pula hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Sabri Sahar tetapi percubaannya dari jarak kira-kira 25 meter itu sekadar menggegarkan tiang dan percubaan susulan Paunovic dihalang pertahanan lawan.

Penyerang import JDT II, Mohamad Ghaddar, akhirnya menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-62 apabila menanduk masuk sepakan percuma S. Kumaahran bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Sepakan percuma Rozaimi, kira-kira tujuh minit sebelum perlawanan tamat, mengesahkan mata penuh menjadi milik JDT II dengan keputusan 2-1.

**Kredit imej - Media SAFA

Keputusan lain:

PULAU PINANG 2 TERENGGANU FC II 3

NEGERI SEMBILAN 2 SARAWAK 1

SELANGOR UNITED 1 KELANTAN 0