Roy Keane puji Pep Guardiola pastikan Man City sentiasa 'dahaga' kejuaraan

Ammar Hakim
Mei 22, 2023 03:54 MYT
Roy Keane memuji Pep Guardiola menjual pemain bertaraf bintang seperti Gabriel Jesus dan Joao Cancelo, ketika Manchester City menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).
City meraikan kemenangan gelaran liga buat kali kelima dalam enam musim semalam berikutan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea, selepas sah dinobat sebagai juara berikutan kekalahan Arsenal kepada Nottingham Forest pada Sabtu.
Banyak pujian telah ditujukan kepada pemain yang baru yang mereka bawa masuk, terutamanya mendapatkan khidmat penyerang sensasi Erling Haaland pada musim panas lalu.
Tetapi The Citizens juga kehilangan beberapa pemain besar sebelum permulaan kempen, ramai yang menyaingi kelab, termasuk Jesus dan Oleksandr Zinchenko kepada Arsenal dan Raheem Sterling kepada Chelsea.
Cancelo juga berlepas ke Bayern Munich secara pinjaman pada Januari berikutan berdepan masalah persefahaman dengan Guardiola, perpindahan yang mengejutkan ramai pihak selepas bek sayap itu memainkan peranan penting untuk City.
Selepas sambutan kejuaraan di Etihad, Keane memuji keputusan Guardiola untuk melepaskan beberapa pemain ini, berkata ia membantu mengekalkan mentaliti dan kelaparan skuadnya untuk terus memenangi trofi.
"Cara pengurusannya mengendalikan dan melepaskan pemain. Cukup hebat, ia membantu pasukan supaya terus menginginkan kejuaraan.
"Dia tahu apa yang dia lakukan, dia melakukannya secara konsisten dan itu adalah tanda kehebatannya. Untuk terus menang, apa yang dia lakukan, gaya permainan dan kelaparan, kita melihat keseronokan yang dia perolehi dan ia seperti gelaran pertamanya. Luar biasa."
#EPL