Rostov percaya mereka boleh mengukir sejarah baru kelab itu apabila bertandang ke Old Trafford untuk perlawanan kedua pusingan 16 Liga Europa menentang Manchester United, awal pagi esok.

Skuad Russia itu beraksi baik dalam perlawanan pertama apabila Aleksandr Bukharov membatalkan gol pembukaan Henrikh Mkhitaryan untuk meraih keputusan seri 1-1 walaupun pasukan bimbingan Jose Mourinho menjadi pilihan untuk mara.

Tetapi Rostov pernah menewaskan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada musim pertama mereka di pentas Eropah dan jurulatih, Ivan Daniliants, menegaskan pasukannya akan ke Manchester dalam suasana positif.

"Kedua-dua kelab mempunyai sejarah mereka sendiri tetapi kami berada di sini untuk mencipta sejarah," kata Daniliants dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Kami mahu bersatu dan menunjukkan prestasi yang baik. Kami percaya dengan pasukan kami. Kami percaya kepada setiap pemain dan saya yakin bahawa jika kami melakukan yang terbaik, hasilnya akan menjadi positif."

Padang Rostov mengganggu aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan pertama, dengan permukaan Stadium Olimp-2 dikritik Mourinho manakala Rostov kemudiannya diharamkan bermain dalam Liga Perdana Russia.

Sehubungan itu, Daniliants tidak sabar menyaksikan permainan pasukannya dalam persekitaran yang lebih baik di Old Trafford apabila Rostov menyasarkan untuk melakukan kejutan besar.

"Saya rasa setiap pemain kedua-dua pasukan akan mendapat manfaat daripada menggunakan padang yang berkualiti tinggi," kata jurulatih itu.

"Sebab itu, saya tidak mahu mengulas secara khusus gaya permainan kami apabila kami menggunakan padang yang berkualiti tinggi ini, hanya perlu katakan semua orang akan menikmatinya."