Biarpun gagal membawa bekalan jaringan, Felcra FC yakin mampu mengatasi cabaran Sime Darby dalam separuh akhir kedua Liga FAM, sekaligus meraih tiket beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Ketumpulan jentera serangan menyebabkan perlawanan sekadar terikat seri tanpa jaringan walaupun skuad kendalian Rosle Mat Derus itu berjaya menguasai sebahagian besar aksi di Stadium Arena, Universiti Malaya.

Felcra yang membariskan Firdaus Azizul dan N. Thanabalan di barisan depan gagal menggunakan setiap kesempatan yang dimiliki, namun Rosle tetap lega kerana gawangnya tidak dibolosi.

“Apa yang bagus adalah kami tidak dibolosi sebarang jaringan walaupun barisan depan gagal menjaringkan gol.

"Saya berpuas hati dengan komitmen setiap pemain walaupun ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bermain dalam keadaan demam.

“Saya yakin aksi kedua akan memihak kepada kami,” kata Rosle.

Sementara itu, pengendali Sime Darby, Ahmad Yusoff, turut berpuas hati dengan tahap disiplin yang dipamerkan pemain-pemainnya sepanjang perlawanan dan menjelang aksi kedua, dia menyifatkan peluang sama rata buat kedua-dua pasukan.

“Masih ada 90 minit untuk menentukan pemenang.

“Perasaan yakin dan bimbang tetap ada. Kelebihan sebagai tuan rumah dalam pusingan kedua tidak memberikan sebarang kelebihan besar buat kami,” ujar Ahmad.

Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.