Rosle lega Felcra FC akhirnya sertai Liga Perdana

Penulis Jemputan
November 29, 2017 11:47 MYT
Jurulatih Felcra FC, Rosle Mohd Derus, mengakui berasa lega dengan keputusan pengurusan pasukan itu yang menerima tawaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bersaing dalam Liga Perdana musim depan.
Rosle berkata dia sebelum ini bimbang kerana tiada kepastian mengenai masa depan Felcra.
Namun, selepas pucuk pimpinan kelab itu bersetuju untuk ke Liga Perdana, ia memberi kelegaan buat Rosle serta tenaga kejurulatihan kelab itu.
"Alhamdullillah, selepas Felcra disahkan masuk dalam Liga Perdana, ia memberi kelegaaan kepada pemain dan jurulatih," katanya.
Rosle tidak menolak kemungkinan Felcra akan melakukan rombakan ke atas pasukan untuk bersaing dalam Liga Perdana musim depan.
Dia dijangka dikekalkan tetapi sebagai penolong ketua jurulatih, dengan pengurusan pasukan diyakini bakal melantik seorang pengendali berpengalaman dalam masa terdekat.
"Kemungkinan ramai juga yang tidak menyertai (pasukan) pada tahun depan. Ia kerana apabila memasuki Liga Perdana, pasukan mahu mencari pemain yang lebih berpengalaman dan berkualiti.
"Ia tidak memberi masalah kepada saya kerana saya masih muda. Saya perlu banyak belajar lagi. Siapapun ketua jurulatih, saya akan bekerjasama untuk kepentingan Felcra," tambahnya.
Difahamkan jurulatih yang berminat untuk memohon tugas di Felcra adalah Ismail Zakaria, Azraai Khor Abdullah dan Wan Jamak Wan Hassan.