TOTTENHAM 1 CHELSEA 0

Danny Rose mengakui Tottenham telah dipaksa untuk bekerja keras ketika meraih kemenangan 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala EFL ke atas Chelsea di Wembley, awal pagi tadi.


Jaringan Harry Kane menerusi sepakan penalti pada minit ke-26 membenarkan Spurs memiliki kelebihan tipis ke atas skuad bimbingan Maurizio Sarri itu.

"Ia merupakan perlawanan yang berbeza berbanding ketika mengatasi mereka dalam saingan liga sebelum ini," kata Rose.

"Saya tidak beraksi dalam perlawanan itu tetapi ia dilihat begitu senang buat rakan sepasukan saya.

"Dalam perlawanan ini, kami dipaksa bekerja keras. Ia merupakan persembahan berkualiti yang dipamerkan Spurs dan saya berasakan kami berhak memenangi perlawanan ini.

"Kami berusaha untuk mencetak gol kedua tetapi Chelsea turut bertindak cemerlang menyerap tekanan kami. Kami akan menggunakan kelebihan ini dengan sebaik mungkin dalam aksi timbal balik," katanya.

Rose berpendapat corak permainan Spurs mampu menjadi kelebihan untuk mendahului aksi dalam perlawanan di Stamford Bridge nanti.

"Chelsea akan cuba memberikan tekanan dan berusaha untuk mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, kualiti Spurs ketika melakukan serangan balas akan menjadi kunci kami untuk mara ke final.

"Kami tidak akan mengharungi perlawanan tersebut dengan corak permainan negatif. Kami akan bermain dengan cara kami."