Gareth Southgate mengetepikan kapten England daripada skuadnya untuk berdepan Jerman dan Lithuania walaupun mengetahui penyerang Manchester United itu akan kembali beraksi berdepan Middlesbrough, hujung minggu ini.

Keputusan untuk memanggil semula penyerang veteran, Jermain Defoe, menjadi perbualan utama mengenai skuad pilihan Southgate bagi menghadapi perlawanan persahabatan berdepan juara dunia pada Rabu, sebelum menerima kunjungan Lithuania empat hari berikutnya bagi kelayakan Piala Dunia.

Kecederaan memaksa penyerang Tottenham, Harry Kane, dan penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, diketepikan manakala Rooney tidak beraksi dalam saingan Liga Europa (UEL) berdepan Rostov kerana kecederaan lutut.

Bagaimanapun, Southgate berkata tahap kecergasan pemain berusia 31 tahun itu merupakan satu punca beliau tidak memilih Rooney di dalam skuad 26 pemainnya.

"Saya telah berbincang dengan Rooney dan saya berasakan dia mungkin diturunkan hujung minggu ini," kata Southgate.

"Tetapi masalah kecederaannya serta kekurangan waktu beraksi menjadi faktor utama dalam keputusan saya."

Rooney merupakan penjaring terbanyak buat kelab dan negaranya, namun bergelut untuk menemui sentuhan musim ini.

Dia menjaringkan lima gol dalam 30 penampilan musim ini bersama United dan hanya turun sebagai pemain utama dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Di sebalik kedudukan Sunderland di dalam liga, Defoe telah berjaya menarik perhatian Southgate. dengan 14 gol dalam 27 perlawanan sudah memadai untuk mendapatkan khidmat penyerang itu kembali menyarung jersi England.

"Saya tidak mahu melihat pada usianya dan berpendapat dia sudah tidak lagi diperlukan oleh England. Saya yakin pengalamannya akan membantu pasukan."