Wayne Rooney menggesa barisan pemain bintang Manchester United untuk lebih bertangunggungjawab dan membuktikan rasa sayang mereka buat kelab itu pada ketika Ole Gunnar Solskjaer sedang bergelut mengekalkan jawatannya di Old Trafford.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman United itu berkata kekalahan 0-5 kepada seteru tradisi, Liverpool, hujung minggu lalu "bukan mudah untuk dilihat" pada ketika The Red Devils berdepan kekalahan paling memalukan sepanjang era Solskjaer.

Rooney berasakan ia merupakan satu kejutan untuk melihat kurangnya usaha daripada kebanyakan pemain mereka pada ketika lawan bimbingan Jurgen Klopp berkenaan berleluasa di Manchester.

United akan melalui tiga perlawanan penting, iaitu dua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Tottenham dan Manchester City, yang mengapit pertemuan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di laman Atalanta minggu depan.

Tiga perlawanan itu dilihat akan menjadi penentu nasib Solskjaer tetapi Rooney berkata bekas pasukannya itu memerlukan perubahan drastik.

United juga hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos daripada 20 aksi terakhir -- rekod terburuk dalam kalangan semua pasukan EPL.

Rooney berkata: "Pemain perlu mempersoalkan dan melihat kepada diri mereka sendiri. Amat mudah untuk pengurus memikul segala tanggungjawab pada ketika pemain-pemain itu mendapat bayaran yang besar untuk melakukan tugas mereka dan saya tidak fikir mereka melakukannya dengan cukup bagus.

"Terdapat tangungjawab yang besar buat pemain-pemain itu. Mereka pemain berkelas dunia, pemain kebangsaan dan kelab seperti Manchster United memerlukan lebih daripada itu.

"Pemain perlu berasa sakit apabila mereka tewas dalam perlawanan," katanya.

Dipetik daripada pelbagai akhbar di United Kingdom, Rooney menambah: "Terdapat keperluan yang tinggi di kelab ini, tekanan yang tinggi, dan saya dapat lihat ramai pemain tidak mahu berlari ke belakang, tidak mahu bertahan dan tidak memberikan segala-galanya yang mereka ada dan itu memang tidak dapat diterima. Adakah anda katakan itu salah pengurus? Saya tidak tahu.

"Saya mengenali Ole, dia seorang pejuang, dia akan terus melakukan perkara yang betul.

"Dia akan terus percaya apa yang dia percaya dan mencuba untuk mengeluarkan sesuatu yang lebih baik daripada pemainnya kerana saya fikir tanggungjawab terbesar adalah daripada pemain itu sendiri," katanya lagi.