Wayne Rooney dinamakan pemain kelima paling popular di China manakala Manchester United mengatasi Bayern Munich untuk mengungguli carta ranking kelab di sana.

Perpindahan Rooney ke Liga Super China (CSL) semakin hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila ejennya, Paul Stretford, dilaporkan berada di negara itu ketika musim perpindahan di China masih lagi terbuka hingga penghujung Februari ini.

Edisi keenam laporan Red Card, yang membuat analisis terhadap pengaruh kelab dan pemain Eropah di China berdasarkan laman sosial Weibo, meletakkan pemain antarabangsa England itu di tempat kelima, dengan Mesut Ozil di tangga kedua, Gareth Bale ketiga, manakala rakan sepasukan Rooney di Old Trafford, Anthony Martial, mengatasinya di tempat keempat.

Bintang Barcelona, Lionel Messi, tidak memasuki ranking berkenaan kerana kurang menonjol dalam media sosial di China.

Cristiano Ronaldo yang menjadi kegilaan di serata dunia menduduki tempat teratas.