Cristiano Ronaldo percaya dirinya masih memiliki kemampuan fizikal untuk beraksi di peringkat tertinggi bagi lima tahun lagi selepas mencipta sejarah bersama Portugal awal pagi tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu sekali lagi mempamerkan aksi terbaiknya di Estadio Algarve untuk menjadi pemain lelaki paling banyak menjaringkan gol peringkat antarabangsa dalam sejarah sukan bola sepak -- mengatasi rekod 109 gol yang dulunya dipegang legenda Iran, Ali Daei.

Ronaldo menanduk masuk dua gol pada lewat perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia itu untuk memastikan kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Republik Ireland, sekali gus menghimpunkan 111 jaringan sepanjang mewakili Portugal.

Walaupun akan berusia 37 tahun musim ini, Ronaldo, yang melengkapkan kepulangannya ke Manchester United daripada Juventus minggu ini, percaya dia masi mampu bersinar dalam usia 40an kelak.

"Saya tidak tahu rekod apa lagi yang tinggal tetapi apa yang lebih saya mahukan adalah untuk terus bermain. Saya rasa bermotivasi dan masih mempunyai kekuatan untuk beraksi selama tiga, empat atau lima tahun lagi," katanya kepada Sport TV.

Ronaldo menambah kepada TNT Brasil: "Ia satu rekod yang saya benar-benar mahu pecahkan. Selepas gagal menyudahkan sepakan penalti, saya agak sedih selama 10 minit. Tetapi itulah bola sepak. Kita perlu yakin sehingga penghujungnya.

"Penyokong banyak membantu kami tetapi usaha dan kepercayaan pasukan ini membuahkan hasil di penghujungnya."

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)


Ronaldo dilayangkan kad kuning kerana membuka bajunya ketika meraikan gol keduanya dalam perlawanan itu -- yang hadir pada minit ke-96 -- dan dia akan terlepas perlawanan menentang Azerbaijan, Rabu depan kerana penggantungan.

Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama dan mengakui tidak sedar akan digantung perlawanan ketika meraikan tamatnya penantian sejarah yang ditunggu-tunggu itu.

"Saya terlupa, ia adalah emosi dalam perlawanan. Mungkin jurulatih akan memarahi saya selepas ini tetapi ia tidak mengapa.

"Perkara paling penting adalah saya mahu membantu pasukan.

"Saya mohon maaf tetapi emosinya sukar dikawal," tambahnya.