Apabila West Ham United diberikan sepakan penalti pada masa tambahan ramai peminat Manchester United berasa kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan itu kerana dengan penalti itu juga ia boleh meragut tiga mata Man United tetapi ia bernasib baik apabila sepakan Mark Noble berjaya ditepis David De Gea.

Ini sudah tentu memberi kelegaan kepada peminat Man United kerana tidak ketinggalan mata dengan pendahulu liga ketika ini Chelsea.

Namun, apa yang menarik perhatian penulis, apakah punca semangat yang ditunjukkan De Gea itu yang dapat memberikan keyakinan yang tinggi kepadanya untuk berhadapan dengan Noble.

Sudah pasti ada yang melonjakkan semangat De Gea untuk menyelamatkan Man United dari kehilangan dua mata itu.

Apa yang boleh dirumuskan penulis tentang prestasi De Gea itu sudah pasti ada kaitan dengan aura yang di bawa Cristiano Ronaldo.

Lihat sahaja bagaimana sebelum dan semasa perlawanan Ronaldo telah memberikan kata-kata semangat melalui gerak tubuh badanya yang boleh di lihat melalui kaca televisen baik semasa memanaskan badan atau perlawanan.

Inilah yang dinamakan aura seorang lagenda yang sangat dihormati di kelab dan peminat Man United setelah banyak membawa kejayaan pada kelab 12 tahun lalu.

Bukan setakat itu sahaja Ronaldo juga telah buktikan setelah meninggalkan Man United begitu lama beliau juga mampu membawa kejayaan yang luar biasa pada kelab yang diwakilinya.

Lihat sahaja bagaimana Ronaldo menunjukkan sikap professionalnya dan telah memberikan sepenuh jiwa raganya untuk Man United apabila kembali bersama kelab yang menjulang namanya semasa awal-awal penglibatannya sebagai pemain profesional.






Ini dibuktikan Ronaldo sendiri apabila berjaya melakukan jaringan pada setiap perlawanan yang diturunkan dan begitu cepat Ronaldo membalas jasa kelab yang menaikkan namanya itu.

Itulah watak utama yang dimainkan Ronaldo ketika ini di Man United, dimana beliau merupakan watak penting untuk menaikkan semangat rakan sepasukan supaya terus fokus dengan misi dan visi kelab terutama dalam memburu kejuaraan liga yang sudah lama tidak dimenangi semenjak kali terakhir pada musim 2012-2013.

Dengan reputasi Ronaldo itu jugalah pemain-pemain Man United berjaya bersatu dan terus yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri serta menunjukkan keharmonian yang tinggi di dalam skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.