Biarpun minggu yang sudah dipenuhi dengan kontroversi tentang tindakannya mengasari dan merosakkan telefon bimbit seorang remaja, Cristiano Ronaldo tetap hadir apabila sumbangannya paling diperlukan.

Setelah kecuaian pemain pertahanan Manchester United membenarkan Norwich City, kelab yang menduduki tangga tercorot Liga Perdana Inggeris, menjaringkan dua gol dan mengikat kedudukan, Ronaldo meledakkan sepakan percuma padu dari jarak 25 ela pada minit ke-75 untuk mencatatkan hatrik keduanya musim ini dan akhirnya menghadiahkan kemenangan.

Sebelum tibanya gol kemenangan itu, rata-rata penyokong United sudah pun menganggap perlawanan ini bakal menjadi satu lagi aksi di mana United menunjukkan permulaan meyakinkan tetapi akhirnya ranap gara-gara kecuaian sendiri.



Apa yang nyata, barisan pertahanan United gagal untuk mengawal pemain-pemain Norwich dengan rapi dan tidak membentuk formasi yang kukuh, membolehkan Kieran Dowell dan Teemu Pukki untuk mengambil sepenuhnya peluang dalam membolosi gawang mereka.

Pujian seharusnya diberikan kepada Norwich kerana tidak mengenal erti putus asa dan tetap bersemangat memburu kemenangan sehingga ke detik terakhir, namun mungkin sudah ditakdirkan perlawanan ini merupakan milik Ronaldo dan United.

Kejayaan ini diserikan lagi dengan berita kekalahan kedua-dua pencabar terdekat dalam menduduki tangga keempat liga, Arsenal dan Tottenham, sekali gus meletakkan United hanya tiga mata di belakang Spurs ketika ini.

Di sebalik semua itu, kelemahan United dikritik pedas oleh pengurus, Ralf Rangnick, yang mengakui mereka seharusnya bertahan dengan lebih bijak dan tidak membenarkan penyerang lawan untuk melepasi kawalan dengan begitu mudah.

"Inilah sesuatu yang masih lagi kami gagal untuk laksanakan dengan baik. Mungkin kami satu-satunya pasukan dalam liga yang masih menunjukkan pertahanan selonggar ini." ujar Rangnick .



Gol pembukaan United tiba seawal minit ketujuh gara-gara kelekaan pemain pertahanan Norwich, Ben Gibson, membolehkan Anthony Elanga mencuri bola dan pemain muda itu melakukan lorongan kepada Ronaldo untuk satu gol yang cukup mudah.

Gol ini disusuli oleh Elanga dan Ronaldo sama-sama melakukan aksi melompat dan berpusing sambil disambut oleh teriakan "siuuu" penyokong.

Gol kedua Ronaldo pula hampir serupa dengan gol kemenangannya sewaktu menjaringkan hatrik menentang Tottenham bulan lalu, di mana lonjakan tingginya menanduk masuk lorongan dari sepakan sudut langsung tidak memberikan sebarang peluang kepada pemain pertahanan dan penjaga gol Norwich.

Saban minggu menyaksikan persembahan United musim ini, sesungguhnya apa yang bakal disajikan tidak dapat diramalkan.

Ada waktunya kesemua penyokong meramalkan mereka akan dibelasah teruk tetapi mereka menang bergaya.

Ada juga banyak kali waktunya di mana mereka dijangka akan menang dengan mudah, sebaliknya mereka bermain dengan teruk dan tewas.

Apa agaknya yang akan terjadi pada United jika tiadanya Ronaldo musim ini?

Pelbagai statistik dan kajian sudah membuktikan bahawa kehadirannya mendatangkan satu perbezaan besar, bukannya mendorong kepada aspek negatif seperti yang diura-urakan oleh pihak tertentu pada awal tahun ini.

Meskipun begitu, seperti kata Rangnick sendiri dalam temu bual yang sama selepas perlawanan semalam, United tidak seharusnya bergantung kepada Ronaldo seorang diri -- seluruh pasukan harus hadir sama dalam mencipta keputusan yang diingini.

Minggu-minggu yang seterusnya cukup getir dan penting jika United ingin beraksi dalam Liga UCL musim depan.