Cristiano Ronaldo merenung kembali dalam menulis "kisah indah" di Juventus setelah Manchester United mengesahkan mereka bersetuju menandatangani semula penyerang itu.

Ronaldo dilaporkan dalam perjalanan ke Manchester City sebelum The Red Devils mendedahkan legenda kelab itu bersedia kembali ke Old Trafford.

Kapten Portugal itu akan kembali buat kali kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tertakluk pada persetujuan syarat peribadi, mendapatkan visa dan lulus ujian perubatan.

United dikatakan bersetuju untuk membayar GBP12.8 juta serta GBP6.9 juta tambahan bagi mendapakan khidmat penyerang berusia 36 tahun itu, yang memenangi Serie A dua kali sejak meninggalkan Real Madrid pada 2018.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu memuat naik mesej perpisahan di Instagram setelah United mendedahkan telah mencapai persetujuan.

"Hari ini saya berangkat meninggalkan sebuah kelab yang luar biasa, yang terbesar di Itali dan pastinya yang terbesar di seluruh Eropah. Saya memberikan hati dan jiwa saya untuk Juventus dan saya akan sentiasa mencintai kota Turin sehingga hari-hari terakhir saya," katanya.

"'Tiffosi Bianconeri' selalu menghormati saya dan saya berusaha mengucapkan terima kasih dengan memberikan yang terbaik untuk mereka dalam setiap perlawanan, setiap musim, setiap pertandingan.

"Pada akhirnya, kita semua dapat melihat ke belakang dan menyedari bahawa kita mencapai perkara-perkara hebat, bukan semua yang kita mahukan, namun kita menulis kisah yang sangat indah bersama-sama.

"Saya akan sentiasa menjadi salah seorang daripada anda. Anda sekarang menjadi sebahagian daripada sejarah saya, kerana saya berasakan bahawa saya adalah sebahagian daripada sejarah anda. Itali, Juve, Turin, tiffosi bianconeri, anda akan sentiasa berada di hati saya."