Cristiano Ronaldo sedar dia tidak memiliki 20 tahun lagi untuk bergelar pemain tetapi menjanjikan aksi 100 peratus sepanjang baki kariernya selepas menjangkau usia 36 tahun semalam.

Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu kini sudah 20 tahun bergelar pemain bola sepak profesional dan masih prolifik dengan menjaringkan 22 gol dan menghasilkan empat bantuan jaringan daripada 23 penampilan buat Juventus dalam kesemua kejohanan musim ini.

Kapten Portugal itu menghasilkan lapan jaringan berganda dan ia merupakan rekod terbanyak dalam lima liga utama Eropah musim ini dan dia berhajat untuk mengekalkan prestasi sama bagi baki kariernya.

Dalam satu kiriman hari lahirnya di Instagram, Ronaldo menulis: "36 tahun, sukar dipercayai. Ia rasa seperti baru bermula semalam tetapi perjalanan ini sudahpun dipenuhi dengan pengembaraan dan kisah untuk diingati. Bola pertama saya, pasukan pertama saya, gol pertama saya... betapa masa sudah berlalu.

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)


"Dari Madeira ke Lisbon, dari Lisbon ke Manchester, dari Manchester ke Madrid, dari Madrid ke Turin tetapi apa yang lebih penting, dari lubuk hati saya kepada seluruh dunia... saya sudah memberikan segala yang termampu, saya tidak pernah mengalah dan sentiasa mencuba untuk memberikan versi terbaik diri saya.

"Sebagai pulangan, anda memberikan saya kasih sayang dan kekaguman anda, kehadiran anda dan sokongan tidak berbelah bahagi anda. Dan disebabkan itu, saya tidak pernah cukup untuk mengucapkan terima kasih kepada anda. Saya tidak dapat melakukannya tanpa anda.

"Ketika saya meraikan ulang tahun kelahiran ke-36 dan tahun ke-20 sebagai pemain bola sepak profesional, saya memohon maaf kerana tidak dapat menjanjikan anda 20 tahun lagi seperti ini. Namun, apa yang saya boleh janjikan kepada anda adalah selagi saya meneruskannya, anda tidak akan pernah menerima kurang 100 peratus daripada saya!

"Terima kasih sekali lagi atas segala sokongan, mesej mulia dan inisiatif anda sepanjang waktu ini. Ia amat bermakna buat saya dan anda mempunyai tempat yang istimewa di hati saya," katanya.

Juve akan menentang AS Roma dalam Serie A awal pagi esok dan Ronaldo akan berharap untuk mengelakkan rekod empat perlawanan liga berturut-turut tanpa menjaringkan gol buat kali pertama sejak November 2017.