Zinedine Zidane menegaskan Cristiano Ronaldo tidak gusar selepas gagal melakar nama selaku penjaring dalam kemenangan 2-0 ke atas Espanyol, malam tadi.

Pemain antarabangsa Portugal itu gagal menemui gawang dalam perlawanan kedua berturut-turut, dengan Alvaro Morata dan Gareth Bale mengesahkan kemenagan Madrid di Santiago Bernabeu.

Zidane berasakan Ronaldo tidak panik, sebaliknya berpendapat pemain itu sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas dikasari pertahanan, Aaron Martin.

Ronaldo tampak kecewa apabila pengadil menafikan sepakan penalti tersebut meskipun ulang tayang membuktikan pengadil membuat keputusan yang salah.

Pemain berusia 31 tahun itu melakukan tiga percubaan tepat, namun gagal menembusi gawang Diego Lopez.

"Kami kenal Cristiano," kata Zidane ketika sesi sidang media.

"Dia tidak gusar apabila gagal menjaringkan gol.

"Saya tidak bimbang dengan prestasinya. Dia sudah membantu kami dengan membuat larian, hantaran sepertimana dilakukan ketika berdepan Napoli. Saya tahu dia akan mencetuskan impak dalam perlawanan penting.

"Cristiano seharusnya dianugerahkan sepakan penalti."