Cristiano Ronaldo tidak akan kembali menyertai Sporting CP walaupun ibunya berusaha gigih untuk meyakinkan penyerang Juventus itu untuk ke sana, kata ejennya, Jorge Mendes.

Ronaldo berkembang menjadi salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman sejak meninggalkan Sporting untuk menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan sebanyak £12.24 juta (RM71.19 juta) sewaktu zaman remajanya pada 2003.

Kapten Portugal itu kemudian menjadi fenomena di Real Madrid selepas meninggalkan The Red Devils pada 2009 dengan memecahkan rekod penjaring terbanyak pasukan gergasi LaLiga itu dengan 450 gol.

Ronaldo menyertai Juventus tiga tahun lalu dan dengan kontraknya hampir tamat pada 2022, pemain berusia 36 tahun itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi pada ketika pasukan kendalian Andrea Pirlo itu berisiko tidak layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Ibu kepada pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu, Dolores, berharap anaknya dapat membantu Sporting menambah lebih banyak kejuaraan selepas mengesahkan mahkota Primeira Liga pertama sejak 19 tahun lalu.

"Saya akan berbincang dengannya dan mencuba untuk meyakinkannya untuk pulang ke sana tahun depan," kata Dolores seperti yang dirakam TVI 24.

"Untuk kembali ke Stadium Alvalade dan menyarung jersi Sporting."

Bagaimanapun, Mendes kembali memadam spekulasi itu dan berkata Ronaldo masih belum merancang untuk pulang ke negara asalnya.

"Cristiano berbangga dengan kejayaan yang diraih Sporting di mana ia dapat dilihat semua orang," kata Mendes kepada Record.

"Tetapi buat masa ini, perancangan kariernya tidak berada di Portugal."

Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-100 buat Juventus ketika menewaskan Sassuolo 3-1 dalam Serie A, Rabu lalu.