Dia sekadar memanaskan bangku pemain simpanan dan bukannya mengetuai barisan serangan Manchester United sebagai penyerang utama dalam perlawanan menentang pendahulu liga.

Apakah takdir Cristiano Ronaldo sudah pun tertulis sebelum ketibaan pengurus baru, Ralf Rangnick?

"Ronaldo tidak akan turun sebagai pemain pemula hari ini. Saya sudah berbicara dengannya dan nampaknya dia tidak ada masalah dengan perkara ini," ujar pengurus sementara United, Michael Carrick, dalam temu bual pra-perlawanan menentang Chelsea semalam yang berkesudahan seri 1-1.

Sukar untuk dibayangkan yang Ronaldo bersetuju dengan keputusan sedemikian apabila kelibatnya adalah yang pertama meluru ke bilik persalinan sejurus selepas perlawanan tamat, sehinggakan percubaan Carrick untuk bersalaman dengannya pun tidak diendahkan.

Menurut laporan akhbar British, The Daily Mail, United dilihat sudah pun mula menunjukkan corak permainan 'gegenpressing' yang dikenali ramai sebagai sistem khas ciptaan Rangnick hingga penyokong United mendakwa yang Carrick sedang berkomunikasi dengan beliau melalui telefon sewaktu perlawanan sedang berlangsung.

Dakwaan itu nampaknya disokong oleh bekas pemain bek United, Gary Neville, dalam ciapan akaun Twitter miliknya.

"Ramai yang kurang berpuas hati dengan pemilihan pemain oleh Carrick malam ini serta keputusannya untuk meletakkan Ronaldo di bangku pemain simpanan.

"Tapi, saya rasa pemilihan ini sebenarnya adalah keputusan Rangnick kerana segala-galanya tentang skuad United malam ini adalah jauh berbeza dengan skuad sewaktu menentang Villarreal dan sama sekali tidak serupa dengan apa yang biasa mereka pamerkan."



Dari detik wisel permulaan ditiupkan, United kelihatan bertekad untuk menunjukkan permainan bercorak tekanan -- menguatkan lagi tanggapan bahawa mereka sudah pun menerima arahan untuk bermain mengikut gaya yang Rangnick inginkan.

Kembali semula kepada topik penyerang bintang utama mereka, Ronaldo.

Seperti yang disentuh dalam artikel lalu, antara persoalan paling utama yang harus ditanyakan dalam era baru di bawah kendalian Ragnick adalah bagaimana Ronaldo boleh disebatikan dalam sistem 'gegenpressing', atau adakah dia tidak akan terlibat langsung?

Fokus utama 'gegenpressing' adalah memberikan tekanan berterusan terhadap pemain lawan sewaktu kehilangan bola.

Ia menuntut fokus, stamina dan daya usaha yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

Malang sekali, ciri-ciri sebegini tidak padan dengan Ronaldo yang kita lihat sejak kembali ke pangkuan United.

Dalam sesi bual bicara bersama stesen televisyen Sky Sports, bekas kapten United, Roy Keane, pula bertegas mempertahankan Ronaldo.



"Ronaldo tidak kembali ke United untuk menjadi pemain simpanan semata-mata. Apabila tidak diturunkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan penting sebegini, pastilah dia kecewa dan geram!

"Saya setuju bahawa dia bukanlah pemain yang sesuai untuk menghambat pemain lawan secara berterusan sepanjang perlawanan, itu memang tidak akan berlaku.

“Tetapi saya berpendapat pengurus baru haruslah mengatur pasukan agar berpaksikan kepada Ronaldo sebagai pemain utama," ujar Keane lagi.

Tidak kira apa pun yang didebatkan, secara keseluruhannya, United kelihatan lebih teratur dan berdisiplin dalam aksi mereka semalam.

Adakah apa yang kita tonton dalam perlawanan menentang Chelsea itu merupakan sedutan awal versi baru United yang akan datang?

Pembaharuan bakal tiba, namun adakah ia berlaku dengan mengorbankan seorang legenda sebagai bayarannya?

Kita nantikan.